top of page

Sejarah Penubuhan ASUH Johor

  • Writer: asuh johor
    asuh johor
  • Nov 16, 2020
  • 2 min read

Bangunan madrasah ini telah diilhamkan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad James di mana beliau adalah seorang pendakwah bebas yang tinggal di jalan Tekukur, Bandar Putra. Ustaz Muhammad James merupakan bekas Pegawai Jabatan Agama Islam Perak. Beliau bertugas di Jabatan Dakwah dan banyak terlibat berdakwah di perkampungan orang-orang asli di sekitar negeri Perak. Beliau berpindah ke Johor pada tahun 2010 dan mula mengajar di Bandar Putra dan sekitar Johor Bahru. Antaranya tempat yang kerap diadakan majis ilmu ialah surau al-Hidayah yakni pengajian dalam bidang Al-Qur’an dan Hadis. Maka, bermula daripada situ timbul hasrat untuk mendirikan pondok moden bersebelahan dengan surau al-Hidayah.



ree

Pada ketika itu, Ustaz Muhammad James telah berjumpa Pengerusi Surau iaitu Tuan Haji Muhammad Bakri Bin Hj Md Diah bagi membincangkan alternatif yang berkesan untuk menarik masyarakat sekitar bersemangat mengimarahkan masjid. Apatah lagi, majoriti masyarakat yang terdapat di kejiranan surau tersebut ialah bangsa Melayu. Disebabkan jumlah jemaah surau tiap kali solat lima waktu sangat mengecewakan, akhirnya Pengerusi Surau bersetuju dengan cadangan Ustaz Muhammad James untuk mengadakan kuliah al-Qur’an dan Hadis untuk disampaikan kepada penduduk setempat. Keberkesanan langkah tersebut terbukti bertambahnya bilangan jemaah yang datang ke surau untuk mendirikan solat lima waktu dan menghadiri majlis ilmu.

Seiring berjalannya waktu, seorang kontraktor yang menetap di Kulai (Allahyarham Hamdan) menawarkan kepada Ustaz Muhammad James untuk membina sebuah madrasah dengan kontrak.... Dalam kontrak tersebut, pihak madrasah akan membayar secara ansuran kepada kontraktor selepas bangunan selesai dibina. Maka, tenaga kerja pihak kontraktor pun memulakan kerja dengan membersihkan tapak pembinaan, seterusnya membina bangunan sedikit demi sedikit. Namun, pada tahun 2011 kontraktor tersebut meninggal dunia akibat serangan jantung. Kematian beliau telah menyebabkan proses pembinaan madrasah terbengkalai kerana tiada sumber kewangan. Pada masa yang sama, pihak surau juga tidak mampu untuk meneruskan projek tersebut dan tiada penglibatan yang sepenuhnya oleh AJK surau.

Selain itu, pihak surau hanya dimaklumkan bahawa segala kos pembinaan madrasah adalah di bawah tanggungjawab kontraktor. Pada masa itu juga, pihak surau meyakini bahawa semua permohonan pembinaan madrasah telah dibuat oleh kontraktor dan pihak surau tidak dibebankan dalam permbiayaan pembinaan. Apatah lagi Allahyarham Hamdan terkenal dengan kedermawanannya yang mana beliau banyak membantu menyiapkan pembinaan masjid dan surau yang terbengkalai di sekitar Kulai dan Senai. Allahyarham suka membantu masyarakat dan tidak memperdulikan wang dan keuntungan semata-mata dalam usahanya.

Pada awal tahun 2015, Ustaz Muhammad James telah membawa seramai 15 orang pelajar daripada Madrasah Hamidiah, Batu Pahat bagi meneruskan pengajian hafazan Qur’an di sini. Pelajar ini merupakan anak-anak jemaah di jalan Jati. Semenjak daripada waktu itu, maka bermulalah Pusat Tahfiz Qur’an di surau Al-Hidayah yang dikelola sepenuhnya boleh Ustaz Muhammad James sendiri. Pada masa itu, pihak surau hanya meyakini bahawa segala permohonan akan dibuat oleh Ustaz Muhammad James di Pejabat Pendidikan Islam Kulai.



ree


Namun, pada tahun yang sama (2015) Ustaz Muhammad James diberitakan berpindah ke Perak kerana terpaksa menjaga ibunya yang sakit. Oleh sebab demikian, Ustaz Muhammad James telah menyerahkan kepada kami bagi meneruskan pengurusan madrasah dengan 15 orang pelajar. Semenjak daripada waktu itu, barulah pihak surau mengambil alih keseluruhan pengurusan madrasah sehingga kini.

 
 
 

Yorumlar


Post: Blog2 Post
bottom of page